Tingkatkan kesedaran penjagaan kesihatan, kepentingan memelihara alam sekitar





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pembangunan






BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Julai. - Kementerian Pembangunan baru-baru ini mengadakan aktiviti Riadah Berjalan Kaki yang membawa tema 'Walk as One, Work as One' bertempat di Taman Rekreasi Tanjung Batu, Muara.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.


'Walk as One, Work as One' menggambarkan semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan warga kementerian. Selain itu, ia menyeru agar semua melangkah dan bekerja secara sepasukan, saling menyokong, serta bergerak ke arah matlamat yang sama demi kejayaan organisasi dan kesejahteraan bersama.


Seramai 200 warga yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi acara tersebut.


Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Selamat, dan diteruskan dengan riadah berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer.


Sebagai usaha kementerian dalam sama-sama menjaga kebersihan kawasan berkenaan, aktiviti riadah tersebut diselajurkan dengan kempen kebersihan yang diharap akan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekitar serta memupukkan rasa tanggungjawab dalam bersama-sama menjaga kebersihan di tempat awam dalam kalangan warga kementerian.


Sebanyak 250 kilogram sampah yang terdiri daripada botol plastik, beg plastik, bungkusan makanan, penyedut minuman dan pukat ikan yang terbiar berjaya dikumpul semasa kempen kebersihan tersebut. Kesemua sampah tersebut telah dilupuskan dengan selamat dan teratur selepas acara berakhir.


Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-undang) Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Ir. Awang Norazmi bin Othman; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Acara yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal serta Jabatan Saliran dan Pembetungan, JKR tersebut merupakan aktiviti tahunan yang diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya.


Close